Pelbagai cara dilakukan oleh
remaja kota untuk mengekspresikan diri dan perasaan mereka. Salah satu
daripadanya ialah tarian shuffle bersama kumpulan masing-masing dan
tarian ini dilihat semakin popular di ibu negara khususnya di sekitar
kawasan Bukit Bintang.
Tarian yang bermula di kalangan remaja
Melbourne, Australia pada sekitar lewat 1980-an ini merupakan kombinasi
antara muzik elektronik rancak serta gerakan tubuh yang dinamik
khususnya pergerakan pantas antara tumit dan jari kaki.
Walaupun
bermula sebagai satu aktiviti underground di Australia, tarian itu mula
mendapat tempat dan tersebar ke seluruh dunia apabila didedahkan oleh
sebuah akhbar negara itu dan kemudiannya memasuki Internet terutama
menerusi laman web YouTube.
Remaja di Kuala Lumpur turut tidak
ketinggalan 'terpengaruh' dengan tarian yang menghiburkan ini dan
beberapa komuniti shuffle mula terbentuk di negara ini.
Ada maklumat
menyatakan tarian shuffle di Malaysia mula dipopularkan oleh Apek Whuut,
seorang DJ yang menubuhkan kumpulan shuffle pertama di Malaysia
kira-kira dua tahun lalu.
Difahamkan, terdapat kira-kira 20 kumpulan
shuffle di seluruh negara sekarang dengan setiap kumpulan mempunyai
kira-kira 80 orang ahli.
Biasanya, mereka berkumpul pada setiap
hujung minggu di satu kawasan di Jalan Bukit Bintang di sini iaitu di
hadapan bangunan Yayasan Selangor.
Sekitar 200 orang remaja dari
komuniti shuffle ini berkumpul di situ untuk menunjukkan kehebatan
masing-masing.
Para shuffler itu menampilkan bakat serta pelbagai
gaya terbaru mereka bermula dari pukul 5 petang hingga ke larut malam.
Kebanyakan
mereka terdiri daripada remaja belasan tahun tetapi ada juga di
kalangan yang berusia awal 20-an dan sudah bekerja.
TertarikSalah
seorang daripada mereka, Hadi Aiman atau Adi, 20, yang sudah terlibat
dalam tarian shuffle sejak beberapa tahun lalu memberitahu, dia tertarik
dengan tarian itu setelah melihat abangnya menarikan tarian shuffle.
Remaja
yang berasal dari Bandar Baru Bangi itu berkata, dia mempelajari
teknik-teknik tarian shuffle melalui Internet seperti dari laman web
YouTube.
"Muzik techno untuk shuffle sukar diperoleh di sini, kami
perlu mendapatkannya melalui Internet. Sumber dari Internet
kebanyakannya berasal dari Australia, tempat di mana tarian ini
berasal,'' katanya.
Menurutnya, walaupun ia melibatkan pergerakan
badan yang pantas, tarian shuffle tidak membahayakan berbanding tarian
seperti breakdance.
Malah, katanya, komuniti mereka mula mendapat
perhatian sesetengah pihak dengan memanggil mereka untuk melakukan
persembahan di tempat tertentu untuk mempromosikan produk mereka.
Hadi
berkata, tarian itu juga sedang berkembang di bandar-bandar besar lain
seperti di Melaka, Seremban dan Johor Bahru.
Dia berharap tarian itu
dapat menarik lebih ramai golongan muda melibatkan diri mereka daripada
membuang masa dengan kegiatan yang tidak berfaedah seperti merokok dan
melepak.
Meskipun didominasi oleh kaum lelaki, remaja perempuan juga
tidak ketinggalan untuk ikut serta. Mereka menyertai komuniti shuffle
untuk berkenalan dengan anggota-anggota shuffle yang lain.
Shafiah
Amzah, 17, berkata, dia mula meminati tarian itu setelah diperkenalkan
oleh jirannya.
"Biasanya shuffler wanita akan menjadi penonton rakan
kumpulan mereka beraksi sambil memberikan semangat kepada mereka sewaktu
bertanding," katanya.
Seorang shuffler yang masih bersekolah, Afiq
Syahmi Zainuddin, 16, berkata, shuffle adalah sama seperti
senaman-senaman lain yang boleh membantu membina kecergasan tubuh badan.
"Saya
menari shuffle untuk melepaskan tekanan di samping menjaga tubuh saya
supaya tetap sihat. Saya mahu masyarakat Malaysia tahu bahwa shuffle
bukanlah sesuatu yang negatif," katanya.
Afiq yang mendapat tunjuk
ajar daripada 'sifu' yang bernama Shafiq berminat untuk mengajar remaja
lain tentang tarian itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Bukit Bintang
mendapati, apabila muzik techno dimainkan, seorang demi seorang dari
setiap kumpulan masuk ke tengah gelanggang untuk menunjukkan bakat
masing-masing.
Mengikut adat para shuffler, mereka yang kalah akan
dikenakan denda membuka baju dan menyerahkannya kepada pihak lawan.
Persembahan
mereka di tengah-tengah ibu kota pada setiap hari Sabtu itu juga
sentiasa diperhatikan oleh pihak berkuasa terutama polis yang
berpangkalan hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul.
Mereka
akan patuh dengan arahan apabila diminta bersurai kerana setakat ini,
perhimpunan para shuffler itu tidak mendapat kebenaran daripada pihak
berkuasa.
Namun, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus
melakukan aktiviti tersebut dan berharap suatu hari nanti, mereka akan
diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Sekarang pun, kata mereka, ada di
antara kumpulan itu sudah mendapat perhatian dan telah membuat
persembahan sempena Hari Belia Kebangsaan di Bukit Jalil
baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment